SELANGOR mengambil pendekatan whole-of-Selangor (seluruh Selangor) untuk menggerakkan ekonomi penjagaan, menurut Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor (DEPNS) 2024 - 2030.

Ini menunjukkan bahawa sektor tersebut, dari segi pelaksanaan dan kesannya, melibatkan seluruh masyarakat.

Namun, untuk pemahaman yang mudah, ekonomi penjagaan dibahagikan kepada empat segmen, merujuk kepada golongan-golongan yang terlibat terus dengan aktiviti-aktivitinya.

Berikut merupakan empat segmen tersebut bersama produk dan perkhidmatan yang berkait langsung dengannya, berdasarkan penerangan dalam DEPNS 2024 - 2030.

Warga emas

Malaysia meletakkan takrif warga emas sebagai individu berusia 60 tahun ke atas. Ketika ini, terdapat dua dasar kerajaan yang berkait langsung dengan warga emas, iaitu Dasar Warga Emas Negara serta Dasar Kesihatan Warga Emas.

Dalam Dasar Warga Emas Negara, terdapat lima dimensi kesejahteraan golongan itu yang digariskan, iaitu kesihatan (penuaan sihat), sosial (penuaan aktif), ekonomi (penuaan produktif), kerohanian (penuaan positif) dan persekitaran (penuaan menyokong).

Untuk mencapai kesejahteraan warga emas, beberapa jenis produk dan perkhidmatan boleh disediakan kepada warga emas, iaitu:

i) Perkhidmatan penjagaan kesihatan di rumah

Termasuk pengurusan ubat-ubatan, penyediaan penjagaan perubatan, terapi dan rawatan rumah serta penyediaan makanan, pembersihan dan teman.

ii) Penjagaan peribadi

Melibatkan bantuan aktiviti seharian seperti mandi, berpakaian, makan dan pergerakan serta bantuan instrumental seperti membeli-belah, memasak, menguruskan kewangan dan menggunakan kenderaan.

iii) Penjagaan sementara

Penyediaan penjagaan sementara sebagai pengganti penjaga utama.

iv) Penjagaan khusus

Termasuk penjagaan hospis yang bertujuan mengurangkan kesakitan dan meningkat kualiti hidup akhir hayat pesakit terminal; penjagaan paliatif yang tertumpu kepada penyediaan kelegaan daripada simptom dan memudahkan penjagaan rapi penyakit berat serta penjagaan demensia yang bertujuan meningkatkan kualiti kehidupan harian pesakit.

v) Fasiliti kediaman penjagaan/penjagaan jangka panjang

Melibatkan dua jenis penjagaan, iaitu penjagaan di rumah yang merangkumi perkhidmatan sokongan seperti penyediaan makanan dan bantuan bagi aktiviti kehidupan seharian serta rumah penjagaan yang merangkumi penjagaan dan penyeliaan perubatan 24 jam.

vi) Interaksi sosial

Interaksi sosial boleh dibekalkan kepada warga emas melalui Pusat Penjagaan Harian Dewasa dan Pusat Warga Emas.

vii) Perkhidmatan sokongan

Sokongan yang boleh ditawarkan kepada warga emas termasuk mobiliti, iaitu penyediaan pengangkutan ke temu janji perubatan, kedai runcit dan keperluan lain serta makanan, iaitu program pelbagai yang menyediakan hidangan berkhasiat kepada warga emas yang tidak mampu memasak.

viii) Teknologi dan peranti bantuan

Pelbagai peranti boleh disediakan kepada warga emas, termasuk teleperubatan, alat bantu pergerakan dan alat bantu pendengaran.

ix) Perundangan dan kewangan

Melibatkan perancangan penjagaan di tempoh usia lanjut, termasuk perancangan kewangan, aset dan hartanah atau menentukan wakil bagi hal-hal berkaitan undang-undang.

x) Pendidikan dan kaunseling

Termasuk pendidikan penjaga, iaitu pendidikan dan latihan kepada ahli keluarga sebagai penjaga utama di rumah serta khidmat kaunseling, iaitu penyediaan sokongan emosi dan kaunseling kepada warga emas dan ahli keluarga mereka.

xi) Terapi

Penyediaan pelbagai jenis terapi, termasuk terapi fizikal, terapi pekerjaan dan terapi pertuturan.

Kanak-kanak

Akta Kanak-Kanak 2001 mendefinisikan kanak-kanak sebagai seseorang yang berumur di bawah 18 tahun. Mereka dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu bayi (0 hingga 2 tahun), kanak-kanak prasekolah (3 hingga 5 tahun) dan kanak-kanak sekolah (6 hingga 17 tahun).

Terdapat lima produk dan perkhidmatan dalam ekonomi penjagaan yang berkaitan langsung dengan kanak-kanak, iaitu:

i) Kelahiran dan penjagaan bayi

Meliputi penjagaan selepas bersalin, iaitu penjagaan berpantang, perkhidmatan penginapan atau penjagaan harian bagi wanita serta perubatan bayi dan penyediaan makanan.

ii) Asuhan (0 hingga 4 tahun)

Termasuk pusat asuhan kanak-kanak, pengasuh di rumah, kumpulan bermain dan pusat selepas waktu kerja.

iii) Buku dan bahan pendidikan

Melibatkan buku dan mainan awal kanak-kanak yang direka untuk merangsang perkembangan kognitif dan sosial serta media digital, iaitu penciptaan kandungan dan pengeluaran video, permainan dan lagu.

iv) Makanan dan pengangkutan

Penyediaan dan penghantaran makanan selepas sekolah serta pilihan pengangkutan untuk ke pusat jagaan, sekolah atau pusat aktiviti.

v) Kanak-kanak berkeperluan khas

Melibatkan pusat pendidikan awal kanak-kanak dengan infrastruktur yang sesuai, kurikulum dan penjaga terlatih serta penjagaan dan pemulihan atau perubatan khusus bagi mengoptimumkan fungsi fizikal selain mengurangkan ketidakupayaan dari peringkat awal.

Orang kurang upaya

Akta Orang Kurang Upaya 2008 mentakrifkan orang kurang upaya sebagai individu yang mempunyai kekurangan jangka panjang dari aspek fizikal, mental, intelektual atau deria yang berhadapan pelbagai halangan yang boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat.

Melalui ekonomi penjagaan, produk dan perkhidmatan yang boleh disediakan untuk orang kurang upaya termasuk:

i) Keperluan khas fizikal

Penyediaan penyelesaian, latihan, pengurusan atau ubat-ubatan untuk alahan dan asma, kelainan atau kehilangan anggota badan, artritis juvana dan kronik, cerebral palsy serta epilepsi.

ii) Keperluan khas pembelajaran

Bantuan dan sokongan untuk penghidap Sindrom Down dan gangguan spektrum autisme serta disleksia.

iii) Keperluan khas tingkah laku atau emosi

Penyediaan rancangan penjagaan dan akses kepada pakar untuk mereka yang mengalami kebimbangan dan kemurungan, gangguan makan atau tidur, gangguan personaliti, dissociative disorder, penggunaan dadah atau bahan terlarang serta skizofrenia.

iv) Keperluan khas permasalahan deria

Bantuan alat dan sokongan untuk orang cacat penglihatan dan bermasalah pendengaran.

Penjaga

Penjaga dibahagikan kepada dua kategori, iaitu penjaga tidak formal dan penjaga formal.

Produk dan perkhidmatan dalam ekonomi penjagaan yang berkait langsung dengan penjaga ialah:

i) penjaga utama tidak formal

Melibatkan penjaga seperti ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga, kumpulan sokongan dalam komuniti, badan bukan kerajaan, pertubuhan politik, agensi dan organisasi setempat.

Bantuan dan sokongan kepada golongan ini termasuk program berkala, kumpulan sokongan serta latihan dan pengetahuan untuk meningkatkan keupayaan dan keyakinan memberikan penjagaan, mengetahui kaedah dan teknik penjagaan berkesan serta peluang mengamalkan penjagaan diri.

ii) Penjaga formal

Melibatkan penjaga di institusi, hospital, komuniti, penjagaan bergerak dan penjaga berbayar di rumah.

Bantuan dan sokongan untuk golongan ini termasuk memastikan bilangan penjaga dan profesional bidang penjagaan mencukupi serta memastikan penjaga diberi hak dan perlindungan pekerjaan yang baik.