Menjelang tahun 2040, negeri Selangor diunjurkan mempunyai populasi warga emas seramai 1.3 juta orang.

Situasi semasa yang menyaksikan negeri ini mengalami penurunan kadar kelahiran iaitu 1.5 menunjukkan Selangor bakal menjadi negeri menua (ageing state) menjelang tempoh itu.

Peralihan demografi Malaysia menuju jumlah masyarakat berusia dan penguncupan tenaga buruh dijangka akan menyebabkan keperluan penjagaan golongan rentan akan meningkat.

Ini melibatkan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan golongan kanak-kanak, warga emas dan golongan yang memerlukan penjagaan khusus seperti golongan kurang upaya.

Melihat tren ini, satu gerak kerja agresif diperlukan untuk membangunkan sektor Ekonomi Penjagaan yang boleh menjadi serampang dua mata bagi Selangor.

Sebagai sebuah sektor, bidang ekonomi penjagaan mempunyai potensi besar untuk dimajukan.

Kajian Institute of Strategic & International Studies (ISIS) Malaysia, sekiranya aktiviti penjagaan sedia ada hari ini dinilai dalam bentuk angka, nilainya dianggarkan mencecah RM379 bilion iaitu satu perlima daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor perkhidmatan negara.

Daripada aspek sosial pula, peningkatan mutu perkhidmatan kepada golongan rentan bakal menyelesaikan cabaran kualiti hidup bagi golongan rentan dan penjaganya di seluruh negeri.

Persiapan awal negeri Selangor

Negeri Selangor telah mengambil langkah awal apabila muncul sebagai negeri pertama yang menggubal dan melaksanakan dasar berkenaan Ekonomi Penjagaan di Malaysia.

Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor (DEPNS) 2024 - 2030 yang dilancarkan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari pada 27 November 2024 merangkumi lima teras utama dalam aspek penjagaan warga emas, kanak-kanak dan golongan kurang upaya.

“Walaupun Selangor menduduki tangga kelima selepas Perak, Kedah, Sarawak dan Perlis dari segi peratus masyarakat menua, dari segi jumlah, Selangor mempunyai angka paling tinggi memandangkan kepadatan penduduk dan populasi tinggi sebanyak 7.36 juta,” kata Amirudin sewaktu majlis pelancaran DEPNS.

Lima teras yang dimaksudkan adalah (1) Advokasi dan Promosi (2) Tata Kelola dan Kawal Selia (3) Penjaga Terlatih dan Tenaga Kerja (4) Pelaburan dan Kerjasama, serta (5) Inovasi, Teknologi dan Data.

Semua teras di atas bakal menjadikan usaha membangun sektor Ekonomi Penjagaan negeri yang lebih tersusun, inklusif dan berdaya tahan.

Melalui sinergi antara kerajaan, sektor swasta, NGO dan masyarakat kerajaan negeri yakin satu ekosistem ekonomi penjagaan yang mampan dan inklusif dapat direalisasikan dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan berkualiti demi kesejahteraan setiap lapisan masyarakat negeri Selangor.

Langkah proaktif MBPJ

Pada 10 Februari lalu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan Bengkel Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025-2030 melibatkan pelbagai kumpulan sasar daripada sektor kerajaan dan swasta.

Ini adalah sebahagian daripada inisiatif dalam melaksanakan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025-2030.

“Ekonomi penjagaan bukan lagi isu sampingan, tetapi satu keperluan utama yang perlu ditangani dengan serius. MBPJ beriltizam memastikan setiap lapisan masyarakat di Petaling Jaya mendapat akses kepada perkhidmatan penjagaan yang berkualiti dan selamat,” kata Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon.

Tambah beliau, perlaksanaan pelan tindakan ini Petaling Jaya akan menjadi bandar raya yang lebih inklusif dan mampan untuk semua penduduknya.

Antara langkah utama yang akan diambil di bawah pelan ini adalah menambah baik garis panduan permohonan dan kelulusan perkhidmatan penjagaan, merangka program dan inisiatif untuk menarik pelaburan dan memperkasa tenaga kerja melalui latihan.

Data semasa menunjukkan Petaling Jaya mempunyai 147 taska (132 mempunyai kelulusan, 15 belum), 108 pusat jagaan kanak-kanak, kebajikan dan OKU (98 mempunyai kelulusan, 10 belum) dan 70 rumah orang tua (66 mempunyai kelulusan, 4 belum).

Pelan tindakan MBPJ ini juga bakal dibentangkan kepada kerajaan negeri dan diterima pakai oleh semua pihak berkuasa di negeri Selangor.

Memartabat dan melindungi

Tema ‘Memartabat Penjaga, Melindungi Yang Dijaga’ diangkat menjadi jiwa DEPNS dalam mencapai objektifnya.

Elemen ‘memartabat penjaga’ merujuk kepada dua kategori penjaga golongan rentan iaitu penjaga iaitu penjaga formal dan penjaga tidak formal.

Penjaga formal merujuk kepada institusi, hospital, komuniti, penjagaan bergerak dan penjaga di rumah yang berbayar.

Kumpulan ini biasanya mempunyai rangka kerja yang teratur namun masih memerlukan penambahbaikan di beberapa aspek seperti model operasi, modal dan jumlah tenaga kerja, dan teknologi.

Penjaga tidak formal pula terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga, kumpulan sokongan dalam komuniti, badan bukan kerajaan, pertubuhan politik, agensi dan organisasi setempat. Terdapat penjaga dalam kategori ini yang tidak dibayar.

Kumpulan ini memerlukan sokongan dalam bentuk latihan, kemahiran, pengetahuan, dan perlu diberi peluang memenuhi keperluan emosi, sosial dan kewangan mereka.

Manakala lemen ‘melindungi yang dijaga’ pula merujuk kepada pelbagai segmen kumpulan rentan yang memerlukan penjagaan seperti warga emas, kanak-kanak dan OKU berdasarkan keperluan spesifik mereka.