Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir mendedahkan kerajaan menanggung kira-kira RM30 juta setahun bagi kos rawatan kesihatan pelarian Rohingya,termasuk perkhidmatan bersalin di hospital kerajaan.
Beliau menyelar ketiadaan mekanisme pengawalan yang berkesan, sambil mendakwa cadangan pengurusan pelarian yang dikemukakan pihak akademik sejak 21 tahun lalu tidak diguna pakai sepenuhnya. Menurutnya, kebergantungan pada mekanisme sedia ada, termasuk Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), tidak memadai untuk menangani isu ini.
Katanya, kadar kelahiran yang lebih tinggi dalam kalangan komuniti pelarian berbanding penduduk tempatan turut menambah tekanan terhadap kemudahan kesihatan awam. Beliau menimbulkan persoalan bahawa kos berkenaan ditanggung menerusi wang cukai rakyat, sekali gus menjejaskan golongan berpendapatan rendah yang turut bergantung pada perkhidmatan kesihatan awam.