Dalam bilik kecil sebuah hospital di Petaling Jaya, Fairuz, seorang lelaki berusia 40-an duduk di sisi katil pesakitnya yang hanya mampu terbaring sambil dipantau melalui pelbagai mesin kerana mengalami pendarahan dalam otak.

“Sudah sampai masa,” getus hatinya. Fairuz bingkas bangun mencapai tin susu, cawan dan sudu. Sudah sampai masa untuk pesakitnya ‘makan’. Beliau mengambil tiga sudu susu tepung, dicampurkan dengan air dan diadun hingga sebati.

Fairuz tahu pesakitnya hanya boleh mengambil makanan dalam bentuk susu dan penting bagi beliau untuk memastikan bancuhan beliau betul-betul sebati tanpa sebarang ketulan.

Seterusnya, memulas tuil katil untuk meninggikan badan pesakit, mencapai corong yang tersedia di kepala katil dan memasukkan hujungnya ke dalam tiub makanan pesakit.

“Encik, makan ya,” ujarnya dengan nada yang lembut. Pesakit beliau hanya mampu mengangguk kecil tanda setuju.

Melihat keadaan pesakit yang sudah bersedia, barulah Fairuz menuangkan susu yang baru dibancuh sedikit demi sedikit sehingga habis. Selesailah sesi ‘makan malam’ pesakitnya untuk hari itu.

Untuk makluman, Fairuz bukanlah jururawat di hospital itu. Beliau adalah penjaga peribadi yang diupah khas oleh pihak keluarga pesakit untuk penjagaan 24 jam di wad.

Dari Sabah ke Selangor

Membantu pesakit makan sudah menjadi rutin buat Fairuz sejak dua tahun lalu. Bermula dengan sekadar menggantikan rakan di hospital, Fairuz mula menemui minat dalam profesion sebagai penjaga.

“Bagi saya, menjadi satu tanggung jawab untuk membantu keluarga pesakit memberi penjagaan yang perlu ketika mereka tidak mampu bersama pesakit sepanjang masa,” kata beliau.

Anak jati Sabah ini sudah bekerja dalam pelbagai bidang namun mengakui ‘jatuh cinta’ kepada bidang penjagaan.

Beliau yang asalnya bekerja di sebuah rumah jagaan warga emas di Selangor membuka matanya kepada pelbagai situasi yang dihadapi pesakit.

“Ada yang tidak boleh bergerak, ada yang menghidap demensia dan tidak mengenali saya. Saya yang perlu belajar memahami mereka,” ujarnya.

Kerana minatnya yang mendalam, Fairuz kemudiannya mengambil kelas hujung minggu untuk mendapatkan sijil sebagai penjaga bertauliah di sebuah institusi di Kuala Lumpur.

“Saya sudah tahu cara menjaga, tetapi sijil memberi saya keyakinan berhadapan dengan pelanggan,” tambahnya yang sudah menjaga beberapa pesakit di sekitar Selangor.

Caj ikut situasi

Kini, Fairuz bekerja secara bebas tanpa bergantung kepada ejen, atau mana-mana pusat jagaan. Beliau berunding terus dengan pelanggan yang memerlukan khidmatnya.

Menjawab tentang pendapatan, Fairus menjawab kadar yang biasa dikenakan industri adalah antara RM200 hingga RM350 untuk 12 jam khidmat sehari, bergantung kepada jenis penjagaan yang diperlukan.

Beliau pernah bertugas di pelbagai lokasi seperti pusat jagaan, hospital, pusat rehabilitasi dan rumah persendirian. “Saya ikut keperluan. Kalau perlu 24 jam di hospital, saya tidur di situ,” jelasnya.

Namun kerana beliau bekerja sendiri, dalam kes-kes tertentu Fairuz turut menimbang kemampuan kewangan keluarga pesakit. Jika mereka daripada golongan kurang mampu, beliau boleh mengurangkan bayaran yang dikenakan.

Tambah beliau, selain faktor bayaran pihak keluarga juga perlu mempertimbangkan latar belakang penjaga yang mahu diambil. Mengakui dalam kalangan komuniti penjaga yang menjalankan tugas dengan jujur, ada juga yang mengambil kesempatan.

“Saya pernah dengar ada penjaga yang mencuri barang atau meninggalkan pesakit. Pelanggan perlu berhati-hati dan minta maklumat lengkap penjaga yang mahu diupah,” nasihat beliau.

“Perkara seperti inilah yang menimbulkan keraguan dalam kalangan pelanggan dan menjejaskan persepsi terhadap profesion ini,” tambah beliau.

Perlu kuat semangat

Melihat pesakit meninggal dunia di depan mata sudah menjadi perkara biasa bagi Fairuz.

“Itu lumrah. Yang penting, ketika hidup, saya jaga mereka sebaik mungkin,” katanya dengan tenang.

Beliau pernah menjaga warga emas yang uzur, orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan perhatian khusus, serta pesakit di pusat pemulihan. Setiap pengalaman mengajarnya kesabaran.

Fairuz turut mengakui kerjaya ini tidak semudah dianggap orang.

“Menjaga pesakit selama 24 jam tanpa cukup rehat memang meletihkan, tapi saya teruskan demi keselesaan pesakit,” ujarnya kepada penulis sambil membetulkan stoking tekanan di kaki pesakitnya.

Prospek kerjaya yang cerah

Fairuz melihat prospek cerah dalam kerjaya ini. “Permintaan untuk penjaga sentiasa ada,” katanya.

Permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan terus meningkat dengan pertambahan warga emas, kanak-kanak, dan OKU.

Namun, kemudahan yang ada tidak seimbang dengan keperluan ini. ramai keluarga terpaksa menjaga ahli keluarga sendiri atau mengupah penjaga seperti Fairuz.

Memetik buku Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor 2024 - 2030 (DEPNS), bilangan sukarelawan bantuan di rumah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat di negeri Selangor sehingga tahun 2022 hanyalah seramai 267 orang.

Jumlah ini adalah kecil jika dibandingkan dengan jumlah golongan yang memerlukan bantuan. Menjelang 2040, Selangor diunjurkan mempunyai populasi warga emas seramai 1.3 juta orang.

Data hingga 2022 pula menunjukkan jumlah OKU berdaftar di Selangor adalah tertinggi dalam negara iaitu 111,095 orang.

Dokongan teknologi

DEPNS turut mencadangkan penggunaan teknologi, seperti chatbot berasaskan kecerdasan buatan untuk analisis data dan perancangan perkhidmatan.

Peranan data dalam pembangunan DEPNS melibatkan enam elemen iaitu mengenal pasti keperluan dan permintaan, agihan sumber dan perancangan, pemantauan dan penilaian, peningkatan akses dan inklusiviti, mengenal pasti titik integrasi bagi inovasi dan teknologi serta aspek pemantauan dan penilaian.

Pada waktu ini, orang ramai boleh membuat semakan pusat jagaan atau aktiviti di laman sesawang https://sejagat.myhayat.my/dashboard/. Terdapat pelbagai kategori perkhidmatan sokongan penjagaan yang boleh dipilih berdasarkan keperluan pengguna boleh didapati di laman ini.

Inisiatif seperti ini akan terus ditambah baik dari masa ke masa dan pastinya akan memberi manfaat kepada penjaga seperti Fairuz dan memberikan lebih banyak pilihan kepada keluarga.