Adakah anda mempunyai ahli keluarga yang tidak mampu menguruskan diri mereka sendiri? Boleh jadi mereka adalah ibu bapa anda yang telah uzur, bayi yang baru lahir dan orang sakit, hanya mampu berbaring sepanjang hari.

Menguruskan golongan ini bukanlah satu perkara mudah. Ia memerlukan azam, komitmen dan mungkin juga perbelanjaan yang tinggi mengikut jenis penjagaan yang diperlukan.

Menghadapi situasi ini, ada yang sanggup mengeluarkan biaya yang tinggi untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan terbaik daripada pusat penjagaan atau tenaga kerja berkemahiran.

Ada juga yang sanggup ‘mengorbankan’ diri dengan mengenepikan keperluan peribadi seperti membina kerjaya, tidak mahu berkahwin atau tidak menyambung pelajaran semata-mata untuk menjaga ahli keluarga yang memerlukan penjagaan.

Tidak kiralah apa juga tindakan yang diambil, pokoknya demi orang tersayang kita sanggup berbuat apa sahaja demi memastikan keperluan mereka dapat dipenuhi.

Khidmat berkaitan penjagaan adalah satu sektor ekonomi yang sedang pesat membangun selari dengan perubahan demografi masyarakat di Malaysia menuju status negara tua.

Menjelang tahun 2040, Selangor diunjurkan mempunyai populasi warga emas seramai 1.3 juta orang.

Peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas bertambah dari 6.9% pada tahun 2020 kepada 8.1% pada tahun 2024.

Kini, negeri Selangor sudah boleh dikategorikan sebagai ‘ageing society’.

Dasar ekonomi penjagaan

Negeri Selangor mengorak langkah sebagai negeri pertama memperkenalkan dasar untuk membangunkan ekonomi penjagaan.

Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor yang dilancarkan pada November 2024 menetapkan lima teras pelan tindakan dengan tema ‘Memartabat Penjaga, Melindungi Yang Dijaga’.

Lima teras tindakan yang itu adalah (1) Advokasi dan Promosi (2) Tatakelola dan Kawal Selia (3) Penjaga Terlatih dan Tenaga Kerja (4) Pelaburan dan Kerjasama, serta (5) Inovasi, Teknologi dan Data.

Kelima-lima teras ini akan memberikan sokongan kepada golongan penjaga berbayar dan tidak berbayar serta golongan ‘yang dijaga’ seperti warga emas, kanak-kanak, dan orang kurang upaya (OKU).

Menurut Prof. Madya Dr. Khadijah Alavi, Ahli Majlis Perundingan Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor, kelima-lima teras ini semuanya penting dan memberi impak kepada kumpulan sasar yang berbeza.

“Teras Advokasi adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan paradigma dalam kalangan masyarakat untuk menekankan unsur kesejahteraan melalui penjagaan yang berkualiti,” kata beliau.

Jelas beliau, adalah penting untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap sektor penjagaan kerana bidang ini tidak dilihat sebagai industri yang menjamin masa depan atau memberi pendapatan yang tinggi.

“Melalui kempen kesedaran dan jerayawara, insya Allah kerajaan negeri akan pergi ke semua sembilan daerah untuk menyokong program promosi di peringkat daerah dan komuniti,” tambah beliau.

Memudah cara

Kerajaan negeri menyedari bahawa pusat jagaan, taska, badan bukan kerajaan dan usahawan dalam ekonomi penjagaan menghadapi cabaran kos, syarat teknikal dan sokongan komuniti.

Justeru perlu ada penyeragaman dan sistem maklumat untuk memudahkan operasi dan mengurangkan kos pematuhan tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

Untuk itu semakan, penilaian dan penambahbaikan undang-undang, peraturan dan garis panduan berkaitan perkhidmatan penjagaan akan dilaksanakan melalui Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Perkhidmatan Penjagaan (JKPPP).

Pihak kerajaan negeri juga akan menambah baik sistem penilaian pusat jagaan melalui sistem Quality Improvement Accreditation System (QIAS).

Tambah menarik, kerajaan negeri juga sedang menawarkan Geran Pusat Jagaan (GPJ) kepada para pengusaha taska yang beroperasi di Selangor tanpa lesen yang sah untuk mendaftarkan operasi mereka.

Dilancarkan pada 15 Januari lalu, GPJ menawarkan bantuan sehingga RM5,000 kepada pengusaha taska, pusat jagaan warga emas dan OKU yang layak.

Tenaga kerja terlatih

Menjelaskan tentang teras ketiga tentang penjaga dan tenaga kerja terlatih, Dr. Khadijah menjelaskan dasar ini menekankan kepentingan latihan dan bimbingan tenaga pakar bagi memastikan penjagaan yang selamat, berkesan dan berkualiti.

“Tugas penjagaan ini bukannya mudah. Ia kompleks, teknikal dan memerlukan ketahanan minda serta emosi. Standard amalan yang baik perlu dipatuhi untuk mengelakkan kejadian seperti pengabaian, penderaan dan kemalangan,” kata beliau.

Tindakan utama yang bakal diambil bagi menjayakan teras ini adalah memperkenalkan perkhidmatan pengangkutan ke pusat jagaan, pusat aktiviti dan hospital atau klinik bergerak.

Inisiatif yang dikenali sebagai Mobiliti Selangor ini melibatkan van Deman Responsive Transit dan kolaborasi dengan syarikat e-hailing yang beroperasi di negeri Selangor.

“Jalan raya kita tidak berapa selamat untuk golongan warga tua dan OKU jadi kita perlukan van mobiliti untuk mereka aktif. Kalau mereka duduk di rumah sahaja nerve system mereka akan breakdown.”

Harapan saya kalau ada satu hab latihan sebagai akademi penjagaan di negeri Selangor ini, dapat dibuat latihan untuk kanak-kanak, OKU, warga emas dan penjaganya sekali,” tambah Dr. Khadijah.

Kelestarian perniagaan

Perniagaan berasaskan perkhidmatan penjagaan memerlukan model bisnes yang berdaya saing dan mapan.

Kerajaan negeri Selangor percaya dengan permintaan yang semakin meningkat sektor ekonomi penjagaan akan menawarkan peluang perniagaan, pekerjaan dan pendapat kepada semua lapisan masyarakat dari skala kecil hingga besar.

Untuk itu pelaburan syarikat tempatan dan antarabangsa sangat dialu-alukan kerana ia penting bagi merancakkan lagi industri ini seterusnya meningkatkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

Tawaran menarik seperti potongan cukai tanah atau taksiran ditawarkan kepada pengusaha pusat jagaan yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menarik minat pemain industri.

Seterusnya, program Care City Partner turut dilancarkan bgi menggalakkan organisasi dan syarikat menaja atau melaksanakan inisiatif ekonomi penjagaan di peringkat komuniti atau program ‘anak angkat’ pusat jagaan.

Sokongan teknologi dan data

Teras terakhir menyentuh peranan invovasi, teknologi dan data.

Data yang tepat dapat mengenal pasti jurang keperluan agar sumber dapat disalurkan dengan lebih efisien serta meningkatkan pemantauan perkhidmatan penjagaan.

Platform digital memudahkan padanan antara penyedia perkhidmatan dan penerimanya serta meningkatkan aksesibiliti serta pilihan pengguna.

Inovasi baru berkaitan teknologi penjagaan seperti gajet, sistem pemantauan, kamera dan sensor harus dipromosikan bagi meningkatkan kualiti hidup, mengurangkan kos penjagaan dan merangsang pertumbuhan dan penyelidikan industri dalam sektor ini.

Dengan maklumat yang cukup kita boleh membuat rancangan yang betul, mengenal pasti lokasi aset serta golongan sasar dan memberi nasihat yang tepat kepada usahawan dalam sektor ekonomi penjagaan dalam memeriahkan lagi ekosistem industri ini.