Siapa sangka negara sekecil Malaysia rupa-rupanya berada di tempat 10 teratas sebagai destinasi persaraan dunia?
Kita berada di tangga kelapan di belakang Costa Rica, Portugal, Mexico, Panama, Sepanyol, dan Ecuador dan di atas Perancis dan Columbia yang berada di tempat kesembilan dan kesepuluh.
Perkara ini didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sterra, Wan Rashidi Wan Yahya ketika membentangkan topik ‘Memperkasa Sinergi Sektor Swasta dalam Ekonomi Penjagaan’ di Petaling Jaya pada awal Februari.
Jelas beliau, ekonomi penjagaan adalah satu subset kepada sektor ekonomi yang lebih besar iaitu ekonomi usia emas yang dikenali sebagai ‘silver economy’ di dunia barat.
Nilai ekonomi usia emas dijangka akan melonjak dari 4.2 trilion dolar pada 2019 ke 8.6 trilion dolar di seluruh dunia menjelang tahun 2030.
Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) menganggarkan nilai sektor pelancongan perubatan negara dijangka meningkat ke 3.5 bilion dolar daripada 424.96 juta dolar pada 2016.
“Apabila kerajaan Malaysia melancarkan inisatif pelancongan perubatan pada 2016 kita jangkakan sumbangan kita kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanyalah 424.96 juta namun when we close the book at 2024, we were astounded apabila mendapati sumbangan kita adalah 3.5 bilion dolar,” jelas Wan Rashidi.
Malaysia menjadi tarikan sebagai destinasi persaraan kerana ia memiliki cuaca yang baik, kos hidup yang rendah serta kemudahan kesihatan berkualiti tinggi.
Nilai 3.5 bilion yang dinyatakan di atas adalah berdasarkan visa perubatan selama 6 bulan yang dikeluarkan kerajaan. Menurut Wan Rashidi, warga asing yang memilih untuk bersara di Malaysia akan tinggal jauh lebih lama maka oleh itu potensi nilai pasaran perkhidmatan berkaitan persaraan dianggarkan bernilai 30 bilion dolar.
Cabaran dan peluang
Walaupun dengan potensi industri yang begitu besar, ekonomi penjagaan tidak lepas daripada hambatannya yang tersendiri.
Wan Rashidi menyenaraikan empat cabaran yang perlu diatasi iaitu infrastruktur yang terhad tidak dapat memenuhi permintaan pasaran, berlakunya defisit tenaga kerja berkualiti, kesenjangan sumber kewangan dan ketinggalan dalam transformasi digital.
Di sebalik cabaran di atas terdapat peluang yang boleh diambil pemain industri yang percayakan potensi besar yang ditawarkan.
Kekurangan fasiliti bermakna terdapatnya peluang besar untuk membangunkan fasiliti penjagaan sehingga bertaraf antarabangsa seperti perkampungan pesara atau pusat penjagaan kesihatan holistik.
Model bisnes yang lestari seperti Kerjasama Awam-Swasta (Public-Private Partnership) boleh ditingkatkan berbanding yang sedia ada. Sektor swasta boleh menyediakan teknologi, modal dan kepakaran manakala pihak kerajaan menjadi fasilitator kepada dasar yang menyokong ekonomi penjagaan.
Di aspek teknologi pula syarikat yang berasaskan teknologi kesihatan boleh memperkenalkan produk yang sesuai seperti sistem pemantauan pintar, aplikasi penjagaan di rumah dan penyelesaian menggunakan teknologi kecerdasan buatan untuk meningkatkan kualiti penjagaan.
Manfaat ekonomi penjagaan
Selain manfaat kepada dari aspek ekonomi, pemerkasaan industri berasaskan ekonomi penjagaan juga dilihat dapat memberi manfaat lain kepada masyarakat dan negara.
Dianggarkan 500,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor penjagaan akan dapat diwujudkan di seluruh negara. Ini diikuti potensi peningkatan gaji sehingga 20 peratus bagi penjaga professional yang terlatih.
Ia juga dapat memberi kesan sosial yang positif dalam jangka masa panjang. Penyediaan pelbagai perkhidmatan penjagaan bagi golongan rentan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak dilihat akan dapat memberi sokongan yang diperlukan insitiusi keluarga dan seluruh ekosistem masyarakat.
Perkembangan inovasi berkaitan sektor penjagaan juga dilihat dapat membantu Malaysia bersaing di peringkat global terutama dalam pembangunan teknologi penjagaan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai peneraju global dalam bidang ini.
Demografi penduduk majoriti muslim juga dijangka akan menjadi faktor yang menaikkan imej negara sebagai pendahulu bidang penjagaan berteraskan nilai Islam.
Ekonomi penjagaan bukanlah sekadar tentang pembangunan atau pertumbuhan ekonomi tetapi turut melibatkan usaha membina masyarakat yang lebih penyayang dan bersedia untuk menghadapi cabaran penuaan populasi.
Sinergi pelbagai pihak, pembangunan modal insan, inovasi yang berterusan dan penjagaan nilai-nilai kemanusiaan akan menjadikan Malaysia sebagai contoh kepada dunia dalam membangunkan ekonomi penjagaan yang mapan, inovatif, manusiawi dan berteraskan nilai Islam.