Selangor merupakan negeri paling maju di Malaysia, namun cabaran dalam sektor ekonomi penjagaan semakin ketara seiring dengan perubahan demografi dan sosial.
Dengan populasi melebihi 6.9 juta penduduk, negeri ini menghadapi peningkatan keperluan penjagaan terutama dalam kalangan warga emas, kanak-kanak dan orang kelainan upaya (OKU).
Menjelang tahun 2040, Selangor diunjurkan mempunyai lebih 1.3 juta warga emas, menjadikan negeri ini tergolong sebagai masyarakat menua atau ‘ageing society’.
Nisbah tanggungan umur tua juga meningkat secara berterusan, menandakan keperluan penjagaan yang lebih kompleks dan meluas.
Artikel ini bertujuan memberikan pencerahan terkait faktor dan isu berkaitan ekonomi penjagaan berdasarkan buku Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor 2024 - 2030 (DEPNS) yang dilancarkan pada 27 November 2024.
Diharapkan artikel ini akan dapat memberi gambaran tentang situasi sebenar yang dihadapi warga masyarakat, seterusnya meningkatkan kesedaran tentang keperluan pemerkasaan Ekonomi Penjagaan di negeri Selangor.
Saiz keluarga semakin mengecil
Data menunjukkan bahawa kadar kesuburan di Selangor mengalami penurunan daripada 2.0 kepada 1.5 dalam tempoh 10 tahun.
Ini bermakna bilangan anak dalam sesebuah keluarga semakin kecil, mengurangkan jumlah ahli keluarga yang dapat memainkan peranan sebagai penjaga dalam rumah tangga.
Dengan jumlah golongan muda yang semakin mengecil, peningkatan jangka hayat mencecah 78.1 tahun juga akan menyaksikan peningkatan golongan warga emas di masa akan datang.
Tambahan pula, negeri Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran OKU tertinggi di Malaysia, iaitu 111,095 orang atau 16% daripada jumlah OKU di seluruh negara.
Keadaan ini menuntut penyelesaian yang lebih sistematik dalam penyediaan fasiliti dan perkhidmatan penjagaan dan menuntut perhatian lebih besar terhadap keperluan penjagaan dalam jangka masa panjang.
Kurangnya penawaran perkhidmatan
Dari aspek penawaran perkhidmatan, sektor penjagaan di Selangor masih berdepan pelbagai cabaran. Penjagaan di rumah kekal menjadi pilihan utama, tetapi kebanyakannya dilakukan secara tidak berbayar oleh ahli keluarga, khususnya wanita. Ini memberi kesan kepada peluang ekonomi dan kesejahteraan golongan ini.
Selain itu, pusat penjagaan juga masih tidak mencukupi. Jumlah pusat jagaan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanyalah 700 untuk warga emas (105), orang kelainan upaya (OKU) (70) dan kanak-kanak (525).
Dipercayai masih terdapat ratusan lagi pusat jagaan yang beroperasi tanpa pendaftaran rasmi.
Perlu kerjasama semua
Penyelesaian keadaan cabaran dalam sektor penjagaan yang semakin kritikal menuntut tindakan segera daripada semua pihak.
Ekonomi penjagaan di Selangor bukan sekadar berkisar tentang penyediaan pusat jagaan atau perkhidmatan kesihatan semata-mata, tetapi turut merangkumi aspek sosial, ekonomi dan psikologi pelbagai pihak yang terlibat.
Pihak yang dimaksudkan adalah seperti warga emas, kanak-kanak, orang kelainan upaya (OKU), penjaga, serta pengusaha industri penjagaan.
Dalam landskap ekonomi penjagaan yang semakin berkembang, beberapa isu dan cabaran utama telah dikenal pasti dan perlu diberikan perhatian bagi memastikan ekosistem ini lebih mampan dan berdaya saing.
Isu warga emas
Peningkatan populasi warga emas di Selangor memberi cabaran besar dalam aspek penjagaan. Dengan jangka hayat yang semakin panjang dan jumlah warga emas yang meningkat, permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan juga semakin tinggi.
Jangka hayat wanita lebih tinggi berbanding lelaki dan lazimnya bilangan warga emas wanita lebih ramai berbanding lelaki bagi kumpulan umur 75 tahun ke atas.
Namun, fasiliti dan perkhidmatan penjagaan yang berkualiti masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan ini.
Banyak warga emas, khususnya yang mengalami penyakit kronik atau terlantar, memerlukan penjagaan sepenuh masa, tetapi rumah atau jumlah pusat jagaan yang memenuhi piawaian masih terhad.
Persekitaran tempat tinggal, makan minum, perubatan, dan keselamatan persekitaran warga emas perlu diubah suai dan diselenggarakan dengan lebih kerap.
Rumah yang didiami oleh warga emas perlu mempunyai ciri sokongan tertentu contohnya palang cengkaman, pagar, lantai yang tidak licin, tandas bertingkat, tempat duduk pancuran mandian, pencahayaan yang lebih baik serta mempunyai atur susun yang lebih sesuai (untuk kemudahan kerusi roda, laluan yang jelas, dan perabot yang sesuai).
Pengubahsuaian dan penyelenggaraan untuk memenuhi piawaian tertentu pasti akan melibatkan kos yang tinggi.
Situasi ini bukan sahaja meningkatkan risiko kecederaan, malah menyukarkan mereka untuk hidup secara berdikari.
Selain itu, isu kewangan dan sokongan sosial turut menjadi cabaran utama. Ramai warga emas, terutamanya wanita yang tidak pernah bekerja, tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung kos penjagaan mereka pada usia lanjut.
Dalam kebanyakan kes, mereka bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga, bantuan kerajaan atau NGO bagi mendapatkan perkhidmatan penjagaan.
Pada masa yang sama, penderaan dan pengabaian warga emas semakin membimbangkan. Kes-kes pengabaian, sama ada dalam bentuk fizikal, emosi atau kewangan, semakin meningkat.
Penderaan fizikal adalah tindakan yang boleh mendatangkan kecederaan atau kesakitan kepada warga emas.
Bentuk perbuatan deraan fizikal adalah seperti memukul, mencubit, menendang, membaling sebarang objek yang keras atau tajam kepada warga emas, dan apa-apa perlakuan yang boleh mendatangkan kecederaan dan kesakitan.
Penderaan dari segi emosi atau psikologi pula adalah satu bentuk penderaan secara lisan atau bukan lisan yang mendatangkan keresahan kepada hati, jiwa dan perasaan warga emas.
Ia boleh wujud dalam bentuk seperti menghina, mencaci, mengugut atau apa sahaja percakapan atau penulisan atau perbuatan yang menyebabkan warga emas menjadi sedih, malu, terasa hati atau takut sehingga mendatangkan tekanan emosi kepada mereka.
Ramai warga emas tidak mendapat hak penjagaan sempurna akibat kecuaian, kurang kemahiran atau kekangan kewangan ahli keluarga.
Isu kanak-kanak
Selain warga emas, penjagaan kanak-kanak turut berdepan dengan pelbagai cabaran.
Masalah kesihatan dan pemakanan dalam kalangan kanak-kanak menjadi isu utama, di mana penularan penyakit berjangkit sering berlaku di pusat asuhan akibat kurangnya pemantauan terhadap kesihatan kanak-kanak dan tahap kebersihan premis.
Isu pemakanan dan nutrisi juga menjadi kebimbangan, di samping penularan penyakit berjangkit di pusat penjagaan.
Dua masalah malnutrisi utama bagi kanak-kanak di bawah lima (5) tahun adalah kebantutan dan obesiti yang semakin meningkat akibat pemakanan tidak seimbang.
Dalam aspek kesihatan mental, ramai kanak-kanak mengalami gangguan emosi dan mental seperti kebimbangan, kemurungan dan gangguan pemakanan, tetapi tidak mendapat diagnosis awal kerana kurang kesedaran dalam kalangan ibu bapa.
Penyakit mental yang dialami oleh kanak-kanak, seperti gangguan keresahan atau ‘mood’, gangguan pemakanan atau tidur, penggunaan barang terlarang, ‘schizophrenia’, ‘dissociative disorders’ atau ‘personality disorders’, selalunya kurang disedari oleh ibu bapa.
Akibatnya, ramai kanak-kanak yang boleh dibantu dengan rawatan tidak mendapat bantuan yang mereka perlukan.
Stigma masyarakat juga menghalang ibu bapa daripada mendapatkan rawatan yang sewajarnya untuk anak-anak mereka.
Dalam aspek perlindungan kanak-kanak, statistik menunjukkan peningkatan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak di Selangor.
Peningkatan kes pengabaian kanak-kanak oleh penjaga atau ahli keluarga juga semakin membimbangkan dan ia memberi kesan besar kepada nyawa, kebajikan dan keselamatan kanak-kanak selain memberi impak kepada masyarakat dan negara.
Faktor utama menyumbang kepada masalah ini termasuk tekanan kewangan dalam keluarga, keletihan mental dalam kalangan pengasuh serta kekurangan perlindungan undang-undang terhadap pusat jagaan yang tidak berdaftar.
Ini membuktikan satu tindakan dan perhatian segera diperlukan bagi memastikan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak terus terjamin.
Isu OKU
Bagi golongan OKU, mereka berdepan dengan cabaran unik dalam kehidupan seharian mereka, terutama dalam aspek akses kepada pendidikan, pekerjaan dan penjagaan kesihatan yang sesuai.
Diskriminasi dan stigma sosial masih menjadi isu besar dalam kalangan masyarakat, menyebabkan ramai OKU sukar mendapatkan peluang pekerjaan atau menyertai aktiviti sosial.
Perbuatan mendiskriminasi, melabel, streotaip,dan stigma negatif terhadap OKU dalam pengambilan pekerjaan menyebabkan ramai OKU enggan mendaftar dengan JKM bagi mendapatkan hak serta manfaat yang boleh didapati kerana bimbang akan stigma atau diskriminasi ke atas diri mereka.
Selain itu, banyak premis awam masih tidak mempunyai akses mesra OKU, seperti laluan kerusi roda, tandas khas dan kemudahan pengangkutan yang sesuai.
Walaupun terdapat Kod Standard Amalan Malaysia dan Indeks Reka Bentuk Sejagat (UDI) dan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1986, masih terdapat kekurangan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pematuhan dari segi reka bentuk rumah dan bangunan lain mengambil kira akses kepada OKU.
Selain itu, kesukaran menggunakan pengangkutan awam, kesukaran mendapat lesen memandu, modifikasi kenderaan mesra OKU bermakna golongan ini memerlukan kos yang lebih tinggi untuk mampu bergerak ke mana-mana dengan mudah.
Kesukaran mendapatkan bantuan perubatan dan terapi juga menjadi cabaran utama bagi golongan ini, dengan kos rawatan dan terapi yang tinggi serta kemudahan yang terhad, terutama di luar bandar.
Keadaan ini menyukarkan OKU dan keluarga mereka untuk mendapatkan penjagaan yang diperlukan.
Semoga artikel ini telah dapat memberi penerangan yang mencukupi untuk pembaca memahami cabaran berkaitan keperluan memajukan sektor penjagaan selaras dengan cabaran ekonomi dan sosial yang sedang dan akan dihadapi negeri Selangor.
Dalam artikel akan datang kami akan sentuh pula topik mengenai penjaga agar kita dapat lebih mengenali jenis penjaga yang terlibat dalam Ekonomi Penjagaan, peranan mereka serta cabaran yang dihadapi.