Hos Kerusi Panas Podcast, Enaa dan Faiz Ahmad melontarkan kritikan tajam terhadap Rafizi Ramli yang didakwa terlalu obses menjadikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sasaran serangan peribadi setiap kali mengulas isu semasa.
Kedua-dua hos menyifatkan pendekatan Rafizi kini kelihatan ‘lebih pembangkang daripada pembangkang sendiri’ susulan kekerapan beliau menerbitkan episod baharu hampir setiap minggu semata-mata untuk menyerang kepimpinan Anwar.
Enaa dan Faiz mempersoalkan keutamaan naratif politik yang dibawa oleh Rafizi, memandangkan ulasan dan kupasan beliau mengenai krisis global serta isu ekonomi makro semasa dilihat jauh berkurangan berbanding serangan politik domestik.
Mereka berpendapat pendekatan yang terlalu negatif atau melampau (overkill) tersebut tidak mendatangkan keuntungan politik, sebaliknya hanya akan melahirkan kelompok penyokong yang ekstrem serta menjauhkan golongan pengundi atas pagar yang berfikir secara rasional.