EKONOMI penjagaan merupakan pertindihan antara kerja-kerja yang berbayar dengan tidak berbayar.

Penjelasan mudah berkenaan ekonomi tersebut biasanya menggunakan rajah yang dikenali sebagai Model Berlian Penjagaan (Care Diamond Model). Hadir dalam pelbagai bentuk dan rekaan, rajah di bawah digunakan dalam Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor (DEPNS) 2024 - 2030.

Malah, ekonomi penjagaan juga mempunyai beberapa pertindihan konflik selain status berbayar dan tidak berbayar sesuatu pekerjaan. Antara yang berlaku di seluruh dunia ialah jurang jantina.

Menurut The Asia Foundation, rantau Asia Pasifik mencatatkan ketaksamaan tertinggi berkaitan kerja penjagaan tak berbayar apabila jumlah kaum wanita yang menjalankan kerja-kerja tersebut adalah empat kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki.

Pengarah Serantau Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) untuk Amerika Latin dan Caribbean, Ana Virginia Moreira Gomes berkata, 76 peratus kerja penjagaan tak berbayar di seluruh dunia kini dilakukan oleh wanita.

Di Amerika Latin dan Caribbean, satu pertiga daripada pekerjaan wanita merupakan kerja penjagaan tak berbayar.

Ketidakadilan dan ketidakseimbangan ini yang mendorong gerakan feminisme mengangkat isu ekonomi penjagaan atau ekonomi ungu (purple economy) sebagai antara isu mendesak yang perlu diberi perhatian.

Penjagaan sebagai kemahiran alami wanita

Mengapa kerja-kerja penjagaan tak berbayar banyak melibatkan wanita? Institut Global untuk Kepemimpinan Wanita Universiti Kebangsaan Australia melihat stereotaip jantina sebagai punca.

Elise Stephenson, Gosia Mikolajczak dan Betty Barkha berkata, stereotaip jantina mendorong ketidakadilan dalam kerja penjagaan apabila penjagaan dilihat sebagai kemahiran alami (natural) wanita.

Malah, ia juga menyebabkan kerja-kerja penjagaan berbayar turut didominasi wanita, yang kebanyakannya tidak dibayar dengan setimpal.

“Akhirnya, pola kejantinaan dalam ekonomi penjagaan ditentukan pada peringkat sistem oleh polisi sosial dan diperkukuh melalui feminisasi serta tenaga kerja yang didominasi wanita, yang bermakna ia kurang diambil serius, seterusnya dibayar kurang berbanding industri lain,” katanya.

Hal sama turut dibangkitkan penyelidik, Soraya Seedat dan Marta Rondon dalam kajiannya tentang beban kerja tak berbayar yang dilakukan wanita.

Bagi mereka, stereotaip jantina terhadap kerja domestik mendorong lebih ramai wanita dewasa dan kanak-kanak perempuan melakukan kerja penjagaan.

Ini menyebabkan lebih ramai wanita, terutamanya yang berpendapatan rendah, menanggung beban kerja-kerja bersifat sukar dan membosankan (drudgery) yang boleh memberi kesan kepada kesejahteraan diri.

Kerugian berganda para wanita

Penglibatan dalam kerja-kerja penjagaan tak berbayar menyebabkan wanita tidak dapat menyertai pasaran kerja berbayar, sekali gus menutup peluang kemajuan ekonomi secara mandiri untuk mereka.

Ini yang dialami wanita di Malaysia. The Asia Foundation melalui Dialog Ekonomi Penjagaan pada 2023 mendapati, kerja-kerja penjagaan dan isu penjagaan anak menjadi antara punca wanita di Malaysia meninggalkan kerjaya.

Ini dicerminkan data-data yang dikumpul dalam dokumen Ekonomi Penjagaan Malaysia: Analisis Landskap oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Menurut Wakil Residen Malaysia, Singapura dan Brunei UNDP, Niloy Banerjee, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita di Malaysia ialah 56 peratus, berbanding 83 peratus untuk lelaki.

Ini berlaku ketika negara melahirkan lebih ramai graduan wanita berbanding lelaki.

Kajian UNDP juga mendapati, 65 peratus wanita meninggalkan kerjaya untuk membesarkan keluarga, 48 peratus kerana tiada keseimbangan kerja-kehidupan, 38 peratus untuk menjaga ahli keluarga dan 35 peratus memberi alasan kos penjagaan anak yang tinggi.

Menurut UNDP lagi, ketika jurang penglibatan tenaga buruh antara lelaki dengan wanita adalah relatif rendah (18 peratus) untuk kumpulan umur 25 hingga 34 tahun, ia melebar banyak untuk kumpulan umur 45 hingga 54 tahun, iaitu sebanyak 48 peratus.

Ini sebahagian punca kaum lelaki lebih mendominasi jawatan tinggi dalam kerajaan dan syarikat swasta berbanding wanita.

Demi masa hadapan

Walaupun isu ketidakadilan dan ketidakseimbangan dalam ekonomi penjagaan banyak melibatkan wanita, ia perlu diberi perhatian oleh semua pihak kerana kesannya meluas.

Kerja-kerja penjagaan merupakan asas kepada pekerjaan lain. Inequality.org menyifatkan kerja penjagaan sebagai kerja yang membolehkan kerja-kerja lain berjalan.

Ketika dunia berhadapan cabaran seperti penuaan populasi, pendigitalan dan perubahan iklim, ekonomi penjagaan menjadi semakin signifikan.

Bagi Ana Virginia, pelaburan dalam ekonomi penjagaan merupakan komitmen untuk masa hadapan yang lebih adil, saksama dan mampan.

“Kerja penjagaan bukan hanya keperluan; ia sebuah tindakan menuju keadilan,” katanya.