TERAS keempat Pelan Tindakan Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor (DEPNS) 2024 - 2030 merupakan pelaburan dan kerjasama.
Secara umumnya, teras tersebut bertujuan menarik lebih ramai usahawan mikro dan makro menceburi pelbagai peluang perniagaan dalam ekonomi penjagaan melalui tawaran pelaburan dan insentif.
Antara langkah awal yang diambil untuk menggerakkan teras tersebut ialah pelancaran program Selangor Care Accelerator 2025 (XCare) pada 20 Februari lalu.
Program tersebut membuka peluang kepada 30 perniagaan berkaitan ekonomi penjagaan untuk bersaing dan merebut ganjaran seperti lawatan industri ke luar negara, jaringan dengan pemain industri dan pelabur, padanan perkhidmatan dan infrastruktur serta trofi dan sijil penyertaan.
Menangani cabaran penjagaan
Penglibatan lebih banyak usahawan penjagaan diperlukan untuk memakmurkan ekonomi penjagaan di sesebuah wilayah, termasuk untuk negeri seperti Selangor.
Namun, usahawan penjagaan menghadapi pelbagai cabaran. Ini termasuk kos perkhidmatan berkualiti yang terlalu mahal, perkhidmatan mampu milik yang kurang berkualiti dan kekurangan modal, teknologi serta tenaga kerja.
Dengan memperkasakan usahawan penjagaan, negeri seperti Selangor dapat meningkatkan penawaran perkhidmatan yang berkualiti, inklusif dan mampu milik.
Malah, seperti dalam sektor ekonomi lain, pemerkasaan usahawan penjagaan dapat meningkatkan daya saing dan profesionalisme dalam industri penjagaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan kerajaan yang terhad.
Di sini datangnya peranan program XCare. Ia dapat meningkatkan pertumbuhan sektor penjagaan di Selangor dengan memberikan sokongan kepada pengusaha dalam industri tersebut melalui empat kaedah, iaitu:
Menyediakan sokongan kepada pengusaha melalui latihan dan bimbingan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perusahaan sosial dalam sektor penjagaan.
Meningkatkan inovasi dalam sektor penjagaan dengan membantu pengusaha membangunkan teknologi dan perkhidmatan baharu supaya lebih berkualiti, inklusif dan mampu milik.
Mewujudkan ekosistem penjagaan yang inklusif dengan memastikan lebih ramai orang mendapat akses kepada perkhidmatan berkualiti dengan harga berpatutan.
Membuka peluang kerjasama dan pelaburan dengan menghubungkan pengusaha dengan pelabur dan penyedia dana untuk mempercepat pertumbuhan.
Syarat dan ganjaran
Mana-mana syarikat yang mengusahakan produk atau perkhidmatan berkaitan ekonomi penjagaan layak untuk mendaftar program XCare, tertakluk kepada syarat kelayakan berikut:
Berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), bukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun persatuan yang bersifat bukan untung.
Berpendapatan sebanyak RM50,000 hingga RM200,000 setahun.
Telah beroperasi selama minimum tiga tahun dan lokasi premis perniagaan adalah di Selangor.
Mempunyai bilangan pekerja seramai 10 orang dan ke bawah.
Mempunyai produk atau perkhidmatan berbentuk penyelesaian penjagaan yang sesuai dengan golongan sasaran seperti warga emas, kanak-kanak, OKU dan penjaga.
Wakil syarikat dapat memberikan komitmen sepanjang tempoh program.
Pendaftaran untuk program XCare dibuka bermula 20 Februari sehingga 10 Mac 2025.
Sebanyak 30 perniagaan terpilih akan menjalani bengkel intensif merangkumi 13 modul berkaitan perniagaan penjagaan serta kemahiran pitching.
Para peserta juga akan disokong menerusi sesi pementoran dengan tokoh industri yang berpengalaman dan akan dilibatkan dalam lawatan ke industri penjagaan tempatan.
Kemuncak program XCare ialah pertandingan pitching yang mana kesemua peserta akan bersaing dalam peringkat separuh akhir, manakala 10 perniagaan terbaik akan layak ke peringkat akhir.
Lima perniagaan terbaik di peringkat akhir akan menerima ganjaran istimewa, iaitu lawatan industri ke luar negara, jaringan dengan pemain industri dan pelabur, padanan perkhidmatan dan infrastruktur negeri dan persekutuan serta trofi dan sijil penyertaan.